Rabu, 25 Februari 2009

MENJADI ORANG YANG DISUKAI

(Foto: Bersama Ustaz Suarin Ibrahim, lulusan al-Azhar,
seorang aktivis dakwah kepada non-Muslim
di rumahnya di Kuala Selangor.)



Kenapa orang sering tidak suka dengan anda? Tidak ramai orang yang mahu berkawan dengan anda. Bukan kerana anda miskin. Atau anda berwajah hodoh. Tak lain kerana sikap anda!

Sikap menentukan siapa diri kita sebenar. Sikap ialah tabiat semula jadi kita, darah daging kita. Kita tidak dapat berbohong dengan sikap kita sendiri. Sikap kita sentiasa terserlah apabila kita berhadapan dengan orang lain.

Sekarang anda cuba bina sikap yang baik dengan semua orang. Jangan bertahan dengan sikap tamak dan buruk kita. Jangan bertahan dengan dunia yang sedikit yang tidak mampu dibawa ke mana-mana. Dunia yang sedikit tidak mampu pun untuk menyelamatkan kita dari sakit, lebih-lebih lagi dari mati. Dunia yang sedikit tidak mampu menahan kita dari menjadi tua, lemah dan tidak berdaya: fizikal dan mental.

Jadi juallah dunia ini untuk menjadi orang yang disukai orang lain. Bagaimana?

1. Utama kepentingan orang lain. Diri kita kemudian.
2. Senyum dengan semua orang. Tegur dan sapa mesra mereka.
3. Belanja orang lain makan atau minum.
4. Jemput orang ke rumah. Jangan rendah diri dengan keadaan rumah kita yang sederhana.
5. Beri hadiah pada orang walaupun barangan yang murah harganya.
6. Beri nasihat yang baik kepada orang, walaupun diri kita tak sebaik mana.
7. Memahami "body language - bahasa badan" yang diisyaratkan orang kepada kita. Jangan buat-buat tak faham.
8. Merendah diri. Pepatah Melayu ada menyatakan: "Ular menyusur akar takkan hilang bisanya." Diri anda tak kurang apabila anda merendah diri. Malah orang lebih suka.
9. Buat baik dengan kanak-kanak, orang tua, orang miskin dan mangsa bencana alam.
10. Kurangkan menggunakan perkata 'aku'. Lebih gunakan perkataan 'kita'.
11. Jangan membawa kereta dengan laju di kawasan orang ramai.
12. Elakkan "favour" untuk diri sendiri. Banyakkan "favour" untuk orang lain.
13. Jangan sakitkan hati orang lain.
14. Jangan ada niat dalam hati untuk susahkan orang lain.
15. Tanamkan sifat ikhlas.
16. Jaga bau badan dan bau mulut. Orang yang berhati busuk kekadang mengeluarkan bau badan dan bau mulut.
17. Telus dalam bertindak dan mengurus orang bawahan.

Orang yang disukai oleh ramai orang disukai Allah SWT. Jika ramai orang suka kita, hati kita berada di dalam keadaan positif, produktif dan aman damai. Sebahagian dari tenaga kita tidak susut kerana digunakan untuk berhadapan dengan kesusahan yang dilakukan oleh orang lain. Tenaga produktif ini boleh digunakan untuk faedah yang bermanfaat.

BAGAIMANA MENGELAKKAN KERJA BERTANGGUH

(Foto: Penulis (dua dari kiri) dalam majlis menyampaikan sijil kepada peserta yang tamat KEM TAHFIZ AL-QURAN di Masjid al-Ridzuan, Hulu Kelang bersama al-Ustaz Wan Mohd Noh Wan Hamat - guru Kemahiran al-Quran. Kiri sekali ialah ketua fasilitator, Ustaz Fadlullah Ismail - sekarang di Institut Agama Islam Negeri al-Raniri, Aceh)


Kerja anda bertangguh-tangguh? Tak siap-siap? Ini petuanya:

1. Mulakan sekarang juga. Pepatah Cina ada mengatakan, "Perjalanan jauh bermula dengan langkah pertama."
2. First thing first. Selesaikan kerja terdahulu.
3. Selesaikan kerja yang pendek dan rengkas dahulu.
4. Pecahkan kerja yang panjang kepada beberapa bahagian. Mulakan buat bahagian pertama. Anda lihat bagaimana jentolak mula mendaki gunung untuk menolak tanah yang paling atas. Dalam masa dua tahun gunung yang gagah dibelah dan lebuh raya terbentang.
5. Gunakan masa yang pendek untuk berbuat sesuatu. Misalnya bangun awal sebelum masuk waktu Subuh atau anda ada 10 minit sebelum pergi kerja.
6. Buat senarai: THINGS TO DO TODAY. Potong yang telah dilaksanakan. Bawa ke esok task yang belum dilaksanakan.
7. Tandakan kerja anda kepada 4 kategori:
  1. Penting dan mesti siap sekarang. Misal masuk kerja jam 9.00 pagi, memenuhi deadline.
  2. Penting tetapi boleh ditangguhkan. Misal ziarah mak di kampung, mula tulis buku baru.
  3. Kurang penting tetapi mesti buat sekarang. Misal breakfast sebelum masuk kerja, bercukur, gosok baju, dll.
  4. Kurang penting dan boleh ditangguhkan. Misal shopping, mulai hobi baru.
8. Kalau anda ada masa 4 jam pada pagi Sabtu, rancang untuk laksanakan 4 kerja besar.
9. Hilangkan keraguan melaksanakan sesuatu kerja. Anda sebenarnya memang mampu. Jika tidak orang tak memberi kerja itu kepada anda.
10. Lerai halangan untuk melaksanakan sesuatu kerja itu satu persatu. Memulakan kerja semudah membuka kulit pisang. Ada 5 langkah:
  • Patahkan tunggul tangkainya.
  • Kopek bahagian kulit yang pertama.
  • Kopek bahagian kulit yang sebelah lagi.
  • Selesaikan kopek kulit.
  • Sekarang anda dah boleh makan pisang itu.
Kalau anda tidak mulakan mematahkan tunggul tangkai, sampai bila pun anda tidak dapat makan pisang. Tak mungkin anda membaham pisang dengan kulit-kulitnya!
11. Menangguhkan kerja di atas meja anda seperti anda menangguhkan menggosok gigi waktu pagi. Lama-lama mulut anda akan penuh dengan tahi gigi.
12. Anda boleh ambil kerja baru. Seperti empangan. Bila hujan, air yang dialirkan keluar mesti lebih besar. Kalau anda ambil kerja baru, kadar melaksanakan kerja dan masa untuk melaksanakannya harus lebih lama.
13. Telus dalam memberi alasan mengapa kerja tertangguh. Anda akan belajar supaya lebih ikhlas dan lebih bertanggungjawab.
14. Belajar berkata "No" jika ada kerja baru mendatang yang tak sanggup anda laksanakan.
15. Gantungkan kerja, jangan tempekkan. Lihat bagaimana kertas catatan pesanan makanan anda di restoran digantung menggunakan penyepit baju. Walau bagaimana ramai pun pelanggan, namun akhirnya pesanan anda akan sampai juga.

Selamat mengelakkan kerja bertangguh!

Selasa, 24 Februari 2009

COACHING dan MENTORING

(Foto: Memberi 'Coaching' kepada pelajar
di Sek. Men. Chenor, Pahang Darul Makmur)


Anda pernah dengar 'COACHING' atau 'COACH'?
Coaching ialah 'melatih' atau 'mengajar'. Coach ialah 'pelatih' atau 'pengajar'.

Anda pernah dengar 'MENTORING' atau 'MENTOR'?
Mentoring ialah 'menasihat'. Mentor ialah 'penasihat'. Lawannya 'MENTEE' atau 'PROTEGE' iaitu 'orang yang dinasihati'.

Apa beza 'COACHING' dengan 'MENTORING'?

Dalam 'coaching' anda disuruh arah. Coach cuba mendidik dan membentuk diri anda.

Dalam 'mentoring' anda mengeluarkan potensi dari diri anda sendiri. Mentor cuma memandu atau mencadangkan kepada anda. Kita mencari jawapan sendiri. Kita membuat pengakuan dan berjanji dengan diri sendiri.

Dalam 'coaching' jurulatih menyuruh anda berbuat sesuatu, kita tidak ada pilihan: mahu tak mahu kita kena buat. Jika tidak kita kena marah dan kena hukum atau denda. Kita tidak ada pilihan untuk tidak bersetuju atau membangkang. Kadang-kadang kita terpaksa bersetuju. Kita buat dengan hati yang berat. Jasmani kita atau badan fizikal kita melakukannya dengan susah payah. Kita cepat letih. Kita juga cepat lupa. Cepat bosan.

Dalam 'mentoring' kita membuat pengakuan apa yang kita hendak. Setinggi mana impian kita. Kita letakkan sasaran kita. Kita mencari jalan bagaimana mencapainya. Mentor akan bertanya,"Bagaimana kamu nak mencapainya?". Kita jawab sendiri kemampuan kita. Antara 0-10 berapa anda beri diri anda grade.

Sebelum masuk tidur malam cuba bayangkan apa yang anda hendak lakukan keesokkan hari? Tidurlah awal dengan aman. Dan ketika bangun tidur keesokan hari, apa rasa anda? Adakah anda berasa perubahan terhadap semangat dan motivasi diri anda?

Apakah anda telah mendapat jawapan terhadap bagaimana anda hendak mencapai sasaran anda? Antara 0-10 berapa anda anugerah diri anda pada pagi tersebut? Apakah:
  • Lebih baik?
  • Sama sahaja?
  • Lebih rendah?
dari semalam. Mulailah hari anda untuk mencapai sasaran anda.

(Foto: Penulis (berdiri, bertopi) mengendalikan sesi 'mentoring'
kepada Lembaga Pengarah, eksekutif dan ahli keluarga
syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.
di Kuala Sungai Baru, Melaka)



Sekarang anda telah faham perbezaan antara Coaching dan Mentoring?
  • Mentoring menumpu kepada individu. Coaching menumpu kepada pelaksanaan misi.
  • Mentoring ialah fasilitator tanpa agenda. Coaching ada agenda khas.
  • Mentoring memilih diri sendiri. Coaching dengan tugasan.
  • Mentoring menerima nilai. Coaching menerima kedudukan.
  • Mentoring seluas kehidupan. Coaching hanya berkaitan tugas.
  • Mentoring pengesahan atau pembelajaran. Coaching kerja kumpulan atau pelaksanaan.
Inilah yang saya dapat daripada Encik Shaker Mustafa FinstPM, seorang Performance Consultant dan Certified Professional Executive Master Coach Manager dari Shaker Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Beliau datang bertemu saya di pejabat untuk menerbitkan buku terbarunya "COACHING DAN MENTORING DI PEJABAT".

Sebagai seorang editor dan penerbit, saya ditanya apakah impian saya dalam kerjaya. Saya jawab ada tiga:

1. Menerbitkan buku tahap 'world class.'
2. 'Kesilapan sifar' bagi semua buku yang saya terbitkan walaupun satu titik.
3. Menjadi 'market leader' dalam masa dua tahun lagi.

Beliau seterusnya bertanya, "Bagaimana saya hendak mencapai sasaran itu?"

Kata saya, 3 cara:

1. Menghadiri ekspo buku antarabangsa atau kursus profesional di luar negara.
2. Meng'duplikat' diri saya menjadi 3 atau 4 atau 5 orang "Haji Muhammad Zakaria."
3. Menguatkan 'team work - kumpulan kerja', di kalangan tenaga pengeluaran dan pemasaran.

Tanpa saya sedari beliau telah memulakan sesi mentoring terhadap saya. Dia bertanya,"Antara 0-10 berapa grade yang saya beri terhadap diri saya sekarang?"

"6.5"

Esoknya saya 'on the air' di TV3 jam 7.30 pagi. Isu: "GAWAT EKONOMI GAWAT KELUARGA." Keluar sahaja dari studio di One Utama saya terima satu SMS:

"Shaker di sini, Master Coach. Wah bukan main handsome lagi. Tuan Haji jawap tepat dan padat apa yang Ally tanya. Berapa grade yang tuan Haji beri pada diri Tuan Haji waktu bangun pagi tadi?"

"7.5"

Shaker membalas:

"Tahniah. Ada peningkatan (dari 6.5)"

Petang itu kami berjumpa lagi di sebuah restoran mamak di Ampang Point untuk sesi mentoring selanjutnya. Encik Shaker datang dengan seorang kawannya, juga seorang coach, menaiki Mercedes 280S hitamnya.

Rabu, 18 Februari 2009

GAWAT EKONOMI GAWAT KELUARGA

Tidak benar sama sekali!

Ekonomi ialah pusingan kegiatan manusia sejagat yang berkala dan bermusim sedangkan keluarga yang kita bentuk ialah satu institusi yang stabil dan berterusan hingga membentuk generasi baru.

Kegawatan ekonomi jangan menggugat keharmonian keluarga anda.

Apa yang berlaku apabila ekonomi gawat?
  • Mungkin kehilangan pekerjaan.
  • Kekurangan sumber pendapatan.
  • Anda terpaksa berhutang.
  • Kos hidup meningkat.
Bagaimana menangani kegawatan ekonomi?
  • Jimat berbelanja, beli yang asas sahaja.
  • Buat kerja tambahan untuk meraih pendapatan kedua atau ketiga. Tahukah anda orang sekarang sedang mencipta pendapatan keempat dan kelima! Ada yang pendapatan sentiasa mengalir ke dalam akaun walaupun dia sedang tidur waktu malam!
  • Jual aset yang tidak perlu buat sementara waktu.
  • Berhenti hobi dan aktiviti yang tidak perlu.
  • Tinggalkan gaya hidup mewah.
  • Belanjakan tabungan atau wang simpanan dengan berhemah.
Bagaimana kalau anda dibuang kerja?
  • Cari kerja lain walaupun bidang yang berlainan. Dapatkan kemahiran baru. Tahukah anda bahawa akal kita mampu untuk memiliki sehingga 120 jenis kemahiran. Anda baru memiliki berapa jenis kemahiran?
  • Sanggup bermula dari bawah walaupun gaji kecil.
  • Sanggup bekerja ikut syif.
  • Isteri yang tidak bekerja carilah kerja untuk membantu pendapatan suami.
Peranan isteri dan anak-anak:
  • Fahami kondisi dan situasi suami dan bapa anda.
  • Jimat berbelanja: Makanan, pakaian, api, air, perbelanjaan harian, pengangkutan, yuran persekolahan, telefon bimbit, dll.
  • Beri sokongan moral dan material kepada suami dan bapa.
  • Sama-sama bersusah menempuh saat getir.
Ingat! Kegawatan ekomoni tidak akan berpanjangan. Bila kemarau berakhir, hujan akan turun.

Isnin, 16 Februari 2009

MENGHASILKAN BUKU PERTAMA ANDA

Foto: Antara buku yang saya terbitkan di Telaga Biru Sdn Bhd. Sejak tahun 2006, selaku Managing Editor, saya telah menerbitkan 120 tajuk, 19 antaranya buku saya sendiri. Anda berminat? Saya boleh terbitkan buku anda, Insya-Allah.

Remaja kini ramai yang telah berjaya menghasilkan blog yang cemerlang. Anda menyorot cerita yang menarik minat ramai orang. Ini bermakna anda telah mempunyai pengikut. Idea anda bernas. Ada yang mengusik hati. Banyak yang bermanfaat. Anda berjaya mencuit hati pembaca.

Tahukah anda bahawa blog anda sangat berpotensi untuk menghasilkan sebuah buku. Buku motivasi pertama anda.

"Ah! Aku terlalu muda untuk menghasilkan sebuah buku."

Anda silap. Seorang pelajar wanita Tionghua berusia 14 tahun belajar dalam tingkatan dua di Kuala Lumpur telah menghasilkan 8 buah buku tentang alat permainan tradisional. Dato' Lat menerbitkan komiknya yang pertama ketika berusia 9 tahun.

Karya pertama saya disiarkan melalui Radio Singapura ketika saya berusia 9 tahun. Ketika itu Radio Singapura lebih popular dari RTM. Ketika berusia 10 tahun karya saya tersiar dalam akhbar Berita Harian. Tahun berikut saya menulis dalam majalah Mastika, Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar. Hari ini saya sedang menyiapkan buku saya yang ke-25.

Saya yakin anda boleh lebih maju dan lebih produktif dari semua itu.
Bagaimana mahu menghasilkan buku pertama anda?

1.Anda terus menulis blog setiap hari. Jika ada masa dan kesempatan tulis lebih dari sekali sehari terutama hujung minggu dan cuti sekolah.

2. Tulis tentang satu tema sahaja. Misalnya: Hobi, Kucing, Palestin, Kawan, Motivasi. Dll.

3. Kumpulkan semua rencana dalam blog anda dalam "Words".

4. Susun mengikut kronologi yang anda fikirkan menarik.

5. Tambah di mana-mana yang kurang. Potong mana-mana yang tidak sesuai.

6. Setiap tajuk jadikan bab.

7. Setiap rencana tukar kepada tajuk yang lebih menarik. Baca dari awal dan pastikan kesinambungan yang lancar.

8. Edit menggunakan "Dewan Eja" atau menggunakan Bahasa Melayu yang betul.

9. Kalau anda sudah ada sekurang-kurangnya 80 muka surat saiz A4 taip langkau sebaris setengah (1.5 line spacing), anda telah hampir berjaya menulis sebuah buku.

10. Hantar karya anda itu kepada saya menggunakan e-mel: hjmohdz@telagabiru.net.my atau pos hard copy kepada saya: Haji Muhammad Zakaria, No. 1, Jalan Kiara SD 11/2J, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur.

11. Bagi saya masa 2 minggu untuk menilai karya anda.

12. Jika berjaya karya anda akan diterbitkan dibawah label TELAGA BIRU. Jika tidak berjaya, skrip anda akan saya pulangkan tanpa mengambil apa-apa faedah darinya.

13. Skrip yang berjaya akan diterbitkan dalam masa 3 bulan.


SELAMAT BERJAYA MENGHASILKAN BUKU PERTAMA ANDA!

Sabtu, 14 Februari 2009

SALAHKAH BUDAYA BARAT?

Budaya ialah identiti sesuatu kaum atau masyarakat. Masyarakat meniru sesuatu kaum kerana pengaruh kaum itu dominan atau kaum itu dianggap maju atau menjadi ikon.

Penyebar budaya ialah penjajahan, media dan pelancongan.

Budaya Barat yang kita ikut ada 3 keadaan:

1. Yang menyentuh ibadah:
Haram diikut.
Misal: Perbuatan yang menyerupai ibadah seperti perbuatan, pakaian, tempat bagi agama lain.

2. Yang berkaitan ilmu, kemajuan dan teknologi:
Harus diikut kerana semua ilmu dan perkembangan ilmu itu pada kakikatnya semua dari Allah belaka.

3. Yang berkaitan ketamadunan, budaya, kehidupan seharian & akhlak:
Harus diikut selagi tidak menyalahi syariat dan tidak memudaratkan diri dan orang lain dan dari segi moralnya tidak bertentangan dengan budaya sendiri. Misal budaya kerja, keprihatinan, sikap untuk cemerlang, motivasi dan daya saing.

Pertentangan Barat ialah pertentangan pada akidah dan ibadah. Selain itu nilai sama.

Islam mengajar sunnah Rasulullah SAW menjadi budaya. Orang Barat sendiri menukar budaya mereka mengikut sunnah apabila menganut agama Islam.

Budaya yang merosakkan misalnya budaya hedonisme (hiburan), seks bebas, pemujaan material dan pepecahan sifat kekeluargaan.

BUDAYA MELAYU HARI INI SEBAHAGIANNYA TERBENTUK SELEPAS KEDATANGAN ISLAM. Budaya yang bertentangan dengan Islam tetap tertolak.

Jumaat, 13 Februari 2009

PERMATA HATI

KENAPA DIPANGGIL"PERMATA HATI"?

Permata ialah sejenis galian yang boleh dijadikan barang perhiasan yang sangat berharga, cantik dan bermutu tinggi. Hati ialah raja pada diri. Jadi "permata hati" ialah anak atau zuriat yang dianugerah Allah yang sangat tinggi nilainya, mulia darjatnya dan sempurna kejadiannya.

Kita harus mengakui akan keistimewaan seorang anak yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita. Potensi seorang anak melebihi harta benda, wang ringgit, pangkat dan status. Dan anak juga yang akan mewarisi sisa-sisa perjuangan kita di atas muka bumi ini.

Apabila kita meninggal dunia, maka terputuskan hubungan kita dengan dunia kecuali jika mempunyai anak yang soleh yang mendoakan kita serta melakukan amal soleh yang mengalir pahalanya.

APA KAITAN MENJAGA PERMATA DENGAN MENDIDIK ANAK?

Orang menyayangi permata dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Orang sanggup mati demi mempertahankan permatanya dari dirampas orang. Disimpannya permata di tempat yang paling selamat dan paling istimewa. Orang sanggup berbelanja berapa sahaja asal permatanya selamat.

Anak seharusnya mendapat layanan yang lebih istimewa kerana anak berpotensi lebih tinggi daripada permata. Anak hidup sedangkan permata mati. Anak yang soleh menjadi milik kita selepas meninggal dunia sedangkan permata akan jatuh ke tangan orang lain.

Sebab itu kita harus sanggup berbelanja berapa sahaja untuk melahirkan anak yang soleh. Jagalah anak lebih daripada menjaga permata. SAYANGILAH ANAK LEBIH DARIPADA KITA MENYAYANGI PERMATA ATAU WANG RINGGIT. Letakkan anak di tempat yang mulia dan tinggi.

Jagalah kehormatan diri anak gadis kerana dia insan yang mulia di sisi Allah SWT. Jangan jadikan diri anda lebih hina dari orang Arab jahiliah yang membenci anak perempuan dan mengagungkan anak lelaki.

Orang yang tidak mendidik anaknya dengan sempurna seperti meletakkan sebutir permata di dalam longkang. Amat tidak wajar sekali. Orang yang tidak menjaga keselamatan anaknya seperti meletakkan permata di tepi jalan untuk dicuri penjahat.

APA PERBEZAAN MEMILIKI ANAK YANG RAMAI DENGAN HARTA YANG BANYAK?

Bergembiralah memiliki anak yang ramai. Anak anugerah Allah SWT. Berapa ramai orang yang berkahwin inginkan menimang cahaya mata, namun Allah SWT tidak menganugerahkan anak kepada mereka. Dan berapa ramai orang yang tidak mahukan anak lagi, namun saban tahun mereka tetap mendapat cahaya mata baru.

Ini menunjukkan bahawa anak itu rezeki yang kita tidak tahu puncanya. Bukan kehendak kita. Allah SWT yang menghendaki dia lahir ke dunia. Sebab itu Allah SWT akan menjamin rezekinya, jodohnya dan ajalnya.

Kalau seandainya Allah SWT mengambil nyawa anak kita ketika kecil, itu juga bukan kehendak kita dan bukan dalam kuasa kawalan kita. Anak milik Allah dan Allah berhak mengambilnya kembali.

Harta yang banyak menyusahkan kita kerana wajib menjaganya. Kadang kala orang membunuh kita kerana mahu merampas harta kita. Harta yang tidak ditadbir dengan sempurna akan menyusahkan kita seperti wang yang disimpan di dalam bank akan memberi kita hasil riba yang haram digunakan.

Harta yang banyak juga akan menyebabklan anak-anak berkelahi, kadang-kadang ketika jenazah kita masih terbujur di tengah rumah. Harta yang banyak juga akan menyebabkan kita membazir serta dihisab oleh Allah SWT.

SAHABAT BAGINDA ABDUL RAHMAN BIN AUF IALAH SALAH SEORANG SEPULUH SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA, NAMUN BELIALAH ORANG YANG PALING AKHIR MASUK SYURGA KERANA LAMANYA MASA UNTUK MENGHISAB HARTANYA SATU PERSATU. Itupun semua hartanya halal. Betapalah jika ada harta yang haram. Sudah tentu tidak masuk syurga.

Sebaliknya anak yang ramai akan menjaga ibu dan ayahnya apabila berada pada usia lanjut nanti. Rasulullah SAW suka umatnya yang ramai. Jika kita ramai anak, peluang untuk memiliki anak-anak yang soleh lebih cerah.

MELENTUR AUR DARI REBUNG

Apa yang dimaksudkan "melentur aur dari rebung"?

Aur ialah sejenis pokok buluh yang hidup di tepi sungai. Kalau kita hendak membengkokkan pokok buluh, hendaklah dilakukan sejak rebung (anak buluh). Seperti juga kita membentuk pokok bonsai. Kalau sudah menjadi pokok buluh, tidak boleh dilentur lagi kerana sudah keras. Jika dilentur juga, buluh akan patah.

Maknanya untuk mendidik anak hendaklah bermula dari kecil. Jika tidak dididik dari kecil dia akan membesar tanpa didikan yang sempurna. Apabila dewasa, susah mahu diasuh. Jika berkeras juga dia akan melawan, menderhaka atau lari dari rumah.

Setakat mana ketegasan kita mendidik anak?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Anak dilahirkan suci bersih. Ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Maknanya kita hendaklah sangat tegas dalam mendidik anak. Tidak boleh bertoleransi. Jangan dibiarkan anak mencari jalan sendiri. Istiqamah (tetap adil) menghukum. Kita membentuk anak dengan acuan yang kita tetapkan. Misalnya jika kita mahu anak kita menjadi seorang hafiz atau hafizah, kita yang menentukan iaitu dengan mengajar mereka al-Quran sejak kecil atau menghantar mereka belajar ke institusi yang mendidik ke arah itu.

Jangan teragak-agak hendak mendidik anak dengan alasan dia masil kecil atau kesihan dia yang lemah atau keletihan. Misalnya teragak-agak mengejutkan anak untuk solat Subuh jika anak itu telah berusia tujuh tahun dengan alasan dia belum cukup tidur. Atau teragak-agak untuk mengejutkan anak yang tertidur tanpa solat Isyak.

Anak yang melakukan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Misalnya jika anak tidak solat ketika berusia sepuluh tahun hendaklah dirotan dengan tujuan untuk mengajarnya tetapi jangan sampai mencederakannya.

Bagaimana mendidik anak remaja yang kurang asuhan?
  • Tunjukkan kasih sayang, jangan disisihkan.
  • Ajak berbincang dengan rasional, jangan berleter.
  • Ajak bersama apabila berpergian atau keluar daerah.
  • Ajak bekerja bersama-sama, bukan menyuruharahnya.
  • Beri kerja dengan ikhlas, bukan menyindirnya.
  • Tidak membezakan layanan daripada anak-anak lain yang masih kecil (adiknya).
  • Jangan merendah-rendahkan kemampuannya. Sebenarnya anak remaja mempunyai kemampuan yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu.
  • Beri peluang atau lantik menjadi ketua mengepalai sesuatu tugas atau sesuatu kumpulan.

Jumaat, 6 Februari 2009

MENGAPA ANDA MESTI BERBOHONG?

Mengapa anda sering berbohong? Mengapa mesti berbohong? Perkara-perkara yang kecil dan mudah anda masih mahu berbohong. Kerana anda rasa berbohong itu bukan satu kesalahan.

Anda juga berasa:
"Aku bukan menyusahkan orang."
"Aku tidak mengambil hak orang."
"Aku bukan nak menipu orang lain."

Benar, tanpa anda sedari sebenarnya anda:
"Menyusahkan orang berfikir kerana bertindak balas lain daripada yang sepatutnya kerana anda."
"Anda mengurangkan keyakinan orang terhadap anda."
"Anda menipu diri anda sendiri."

Hukuman kepad orang yang suka berbohong:
  • Cepat tua - wajah kelihatan lebih tua dari usia sebenar.
  • Hilang keberkatan usia dan rezeki.
  • Hilang seri muka.
  • Kurang daya tahan mental.
  • Lemah fizikal dan mudah dapat penyakit.
Tanda orang berbohong:
  • Tidak mahu melihat atau bertentang mata dengan kita.
  • Lambat menjawab soalan kita.
  • Berfikir sebelum menjawab.
  • Tergagap-gagap memberi alasan.
  • Teragak-agak menjawab fakta.
  • Berbuat lain dari apa yang dikatakan.
Kenapa orang mesti berbohong?
  • Melindungi kelemahan diri lantas menyalahkan orang lain seperti apabila lambat ke pejabat dikatakan traffic jam.
  • Ingin menonjolkan diri lantas mencipta cerita yang bukan-bukan.
  • Mendapatkan habuan material seperti membuat tuntutan palsu daripada majikan.
  • Tabiat dari kecil yang terasuh akibat melihat orang yang terhampir seperti ibu bapa atau pengasuh sering berbohong.
Bohong yang terkeji:
  • Melaga-lagakan dua pihak.
  • Mengadu domba.
  • Menjatuhkan orang yang baik dan menaikkan orang yang tidak layak.
  • Menzalimi pekerja atau orang bawahan.
Bohong yang diharuskan:
  • Untuk melepaskan diri dari penzaliman, penyiksaan, murtad dan pembunuhan.
  • Strategi peperangan untuk mempertahankan agama Islam.
  • Mendamaikan dua pihak yang bermusuhan.
Cara mengelakkan berbohong:

Ceritalah dan jawablah perkara sebenar walaupun pahit untuk ditelan. Anda tidak akan rugi. Jangka panjang orang akan lebih mempercayai anda. Anda tidak perlu untuk mereka-reka sebab. Dengan tidak berbohong anda sedang menanam sifat "ikhlas" dalam jiwa anda. Orang yang ikhlas tidak dapat ditipu oleh syaitan.

Dengan tidak berbohong anda akan menjadi lebih produktif. Minda anda akan menjadi lebih cerah. Begitu juga seri wajah anda. Tenaga kerja anda akan meningkat berkali ganda kerana tidak lagi digunakan untuk mereka-reka helah atau mencari sebab yang tidak wujud.

Sifat Mazmumah

Berbohong ialah sifat mazmumah yang dibenci Tuhan. Orang yang berbohong akan menerima balasan di akhirat. Ingat: Ketika berbohong seluruh isi alam sedang mentertawakan anda kerana mereka tahu anda sedang berbohong. Di akhirat nanti mereka akan menjadi saksi. Sampaikan panca indera kita sendiri menjadi saksi pembohongan kita. Betapa tidak, ketika anda berbohong, kadang-kadang anak-anak kecil pun tahu anda berbohong! Malunya.

Anda masih mahu berbohong dengan manusia? Sedangkan berbohong dengan haiwan misalnya memperolok-olokkannya dengan memberi makanan kemudian tidak memberinya atau memberi makanan palsu dan sebagainya, dilarang Tuhan! Inikan pula berbohong dengan manusia.

Selasa, 3 Februari 2009

NASIB SI ANAK KUCING

Nasib Malang Anda

Dalam mengharungi kehidupan ini sering semua langkah anda tidak menjadi. Nasib anda sentiasa dirundung malang. Atau anda kata, "Nasib tidak menyebelahi diri aku."

Kenapa anda seorang sahaja yang dirundung malang? Kenapa orang lain mampu beroleh kejayaan? Kenapa orang lain sentiasa berada di hadapan anda?

Sebenarnya anda yang menentukan nasib anda sendiri. Anda mahu berjaya, anda yang menentukan. Tuhan menjadikan manusia ini mempunyai kekuatan pada dirinya sendiri. Manusia bukan malaikat yang nasibnya ditentukan Tuhan. Manusia bukan haiwan jinak yang nasibnya ditentukan oleh tuannya. Atau haiwan liar yang nasibnya ditentukan oleh persekitarannya.

Tuhan menganugerahkan akal kepada manusia. Dengan akal ini manusia menentukan nasibnya sendiri.

Tapi anda kata, anda seorang yang lemah. Anda sering kalah dalam medan pertarungan untuk hidup. Itu memang benar. Manusia, makhluk yang lemah. Dari segi kekuatan fizikal manusia memang lemah. Yang kuat hanya Tuhan. Manusia sering kalah dengan alam. Kerana alam itu manifestasi Tuhan. Manusia sering ditimpa sakit. Tapi ini salah anda sendiri kerana tidak menjaga kesihatan.

Pasal Rokok

Kalau pasal makan anda selalu kalah dengan nafsu makan anda. Anda merokok kerana anda kalah dengan pemikiran rasional anda. Kenapa orang lain boleh untuk tidak merokok? Anda kata, "Orang yang merokok juga boleh berjaya!" Memang benar, kejayaan anda bukan bergantung pada sebatang rokok. Kejayaan anda bergantung pada usaha anda sendiri.

Kadang-kadang "Alam tidak bersahabat dengan kita." Kita sering kalah dengan cuaca. Kita ditimpa bencana. Kita dihidupkan dalam kelompok yang malang. Persekitaran kita tidak membantu kita untuk berjaya. Keluarga juga.

Anda tidak boleh menyalahkan persekitaran anda. Berapa ramai orang yang berjaya datang dari keluarga yang miskin atau datang dari kelompok masyarakat yang dirundung malang. Malah ada yang datang dari kawasan bencana. Mereka berjaya kerana mereka keluar dari kotak pemikiran kelompok dan keluarga itu. Mereka membina nasib baru di kelompok baru.

Tapi kadang-kadang anda takut untuk keluar dari kotak pemikiran anda. Anda seorang penakut. Anda tidak punya keyakinan diri.

Kisah Abdillah

Seorang anak dari pedalaman Sabah bernama Abdillah (bukan nama sebenar) belajar di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an. Saya yang mengajarnya. Anak ini sangat lemah Matematik, subjek saya. Tetapi saya nampak dia mempunyai bakat yang tinggi. Lantas saya tarik dia masuk kumpulan usrah yang ditubuhkan untuk memberi bimbingan kepemimpinan kepada pelajar terpilih.

Sungguh tidak saya sangka Abdillah menegur dan memeluk saya selepas memberi ceramah di Malaysian Hall London dalam perjalanan saya ke Makkah beberapa tahun kemudian. Hari ini Abdillah seorang peguam dan pemimpin peringkat negeri sebuah parti politik di Sabah. Baru-baru ini ketika saya "on the air" dalam Selamat Pagi Malaysia TV3, Abdillah telah menalipun mengulas persoalan yang sedang diperkatakan. "Tuan haji ini guru saya," akui Abdillah.

Bukanlah Abdillah keluar dari kepompong masyarakatnya untuk membina kehidupan! Anda bagaimana?



Cerita Si Anak Kucing

Jadi anda ketinggalan dan sering kalah dalam pertarungan hidup bukan salah sesiapa. Bukan salah Tuhan. Bukan salah nasib. Bukan salah kelompok atau keluarga anda. Tetapi salah diri anda sendiri.

Seekor anak kucing yang kurus, berkudis dan hampir mati kelaparan di tepi jalan mampu untuk menjadi seekor kucing dewasa yang gemuk, cantik, bersih, ceria dan hidup di istana dengan segala kemakmuran makanan dan tempat tinggal yang mewah. Sudah tentu nasib anda lebih baik dari nasib seekor anak kucing!

BAGAIMANA MENJIMATKAN MASA?

Semua orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Menjimatkan masa ialah dengan menggunakan masa sebaik mungkin. Bagaimana?

1. Pendekkan masa anda membaca akhbar harian dari 60 minit menjadi 30 minit sahaja. Bagaimana?
  • Baca sejenis akhbar sahaja.
  • Baca tajuk besar dahulu.
  • Lihat foto.
  • Perhatikan gambarajah, jadual dan peta.
  • Baca berita yang anda perlu tahu sahaja.
  • Potong rencana yang bermanfaat dan simpan untuk dibaca kemudian. (Ingat: Kalau anda berhasrat untuk memotong rencana itu kemudian, anda tidak akan menjumpainya lagi!)
  • Speed reading melatih anda untuk membaca dari atas ke bawah dan bukan dari kiri ke kanan.
2. Rengkaskan masa anda di bilik air dari 30 minit menjadi 12 minit sahaja. Bagaimana?
  • Gunakan pisau cukur yang tajam.
  • Gunakan berus gigi yang keras.
  • Gunakan air dari kolah berbanding dari shower.
  • Gunakan ketul sabun yang besar.
  • Gunakan tuala mandi yang tebal.
3. Jika anda memakan buah-buahan setiap hari anda akan memendekkan masa anda qadal hajat pada pagi hari dari 15 minit menjadi 5 minit sahaja. Anda tidak ada masa untuk makan buah? Apabila minta roti canai di kedai mamak, anda mintalah roti pisang. Buah limau, oren atau tembikai juga boleh membantu anda. Buah-buahan banyak mengandungi serat yang baik untuk sistem penghadaman anda. Sembelit akan menjauhi anda.

4. Buat dua atau tiga kerja serentak, misalnya:
  • On mesin basuh sebelum masuk ke bilik air.
  • Menjerang air sebelum menggosok baju.
  • Hidupkan enjin kereta dahulu sebelum menyapu halaman rumah sebelum pergi kerja.
  • Merancang kerja harian ketika memandu ke pejabat.
  • Menonton TV dari meja laptop anda di rumah atau memegang buku catatan atau buku bacaan ketika menonton TV.
5. Merancang kerja ke hadapan, bukan ke belakang.

6. Jangan menunggu tetamu sampai. Tetamu akan memberitahu apabila mereka sampai.

7. Game komputer sangat berhantu dan mencuri banyak masa anda!

8. Untuk menjadi produktif anda tidak wajar bergayut di telefon.

9. Buat kerja dengan laju, smart, teliti dan berkesan.

10. Tidur 5 jam sahaja sehari.

11. Bersukanlah (riadah) tidak lebih dari 1 jam sehari.