Rabu, 30 September 2009

RAHSIA MINDA HEBAT

Pagi tadi jam 7.25 pagi saya bercakap tentang MINDA di TV3 bersama Ally Iskandar dan Fitri Yahya mengulas tentang buku terbaru saya yang ke-25 bertajuk RAHSIA MINDA HEBAT nukilan bersama Ustazah Dato' Siti Norbahyah Mahamood terbitan Telaga Biru.

Fitri memulakan pertanyaan, "Apakah peranan sumber makanan dalam menjana minda yang hebat?"

Saya menjawab, "Makanan memang memainkan peranan penting dalam pembinaan minda yang hebat tetapi banyak faktor lain yang lebih utama seperti motivasi diri, kekuatan kerohanian, membaca dan menghafal al-Quran, kesihatan fizikal, aktiviti riadah, ketenangan jiwa, pengamatan persekitaran dan kekuatan psikologi."

Ally Iskandar pula mencelah, "Banyak buku motivasi telah ditulis tentang minda. Ada yang berkesan dan ada yang tidak berkesan. Apakah buku Tuan Haji ini boleh dijadikan modul oleh semua pelajar dan semua orang?"

Saya menjelaskan, "Ada pelajar yang mempunyai cara tersendiri untuk menggarap ilmu pengetahuan hinggalah ada yang tidak perlu membaca buku motivasi langsung tetapi mencipta kejayaan dalam pembelajaran dan dalam pengurusan hidup.

"Bilangan mereka tidak ramai dan mereka ini tidak perlu membaca buku saya. Yang ramainya ialah yang sederhana dan yang lemah. Mereka inilah yang perlu membaca buku saya ini. Sampai kalau boleh dijadikan modul dan dibaca serta difahami dan diamalkan muka demi muka, bab demi bab hingga tamat.

"Ini dilakukan setiap hari, sepanjang masa. Dalam buku ini saya telah cuba merangka satu modul yang terbaik untuk panduan semua pelajar dan juga orang dewasa."

Fitri membuat telahan, "Ramai pelajar sekarang terlalu mengongkong minda mereka dengan capaian Internet. Apa pandangan Tuan Haji?"

Jawab saya, "Internet tidak salah. Segala alat canggih komunikasi, telekomunikasi, kamera dan sebagainya tidak salah. Yang salah ialah penggunaannya. Minda pelajar dan orang deawasa kita belum lagi sampai ke tahap menggunakan peralatan tersebut untuk manfaat, kemajuan, akhlak, ketamadunan dan peradaban manusia. Sebaliknya mereka menggunakan peralatan tersebut mengikut hawa nafsu dan fitrah mereka yang tidak terkawal."

Di akhir program saya menghadiahkan Ally dan Fitri sebuah buku seorang dan Fitri mengakui, "Saya bila dapat buku ini akan melakukan apa sahaja yang disebutkan di dalamnya kerana saya lihat ianya berbentuk manual yang sangat sesuai dan mudah dipraktikkan untuk memiliki minda hebat."

Sebelum berpisah Ally sempat bertanya, "Sekarang Tuan Haji tengah tulis buku apa?"

Sambil tersenyum saya menjawab, "BAGAIMANA MELAHIRKAN SEORANG JUARA?"

Tunggu kelahirannya. Anda ada input penting tentang "Juara" untuk saya? Tulislah kepada saya. Nanti saya akan masukkan ke dalam buku tersebut dan memberi kredit kepada anda.

MENGHANTAR IBU ATAU BAPA KE RUMAH ORANG TUA


Foto: Bersama ibu Temah binti Melah di Teratak Bonda di Kg. Titian Bintangor, Rembau, Negeri Sembilan menyambut hari jadi beliau yang ke-76 dalam bulan puasa baru-baru ini bersama adinda bongsu Dr. Norlaili yang akan berhijrah ke Australia mengikut suaminya dan anakanda Robiah yang mengaji di UiTM.


Hari ini saya akan bercakap dalam Berita Radio RTM tentang anak-anak yang sanggup menghantar ibu atau ayah mereka ke rumah orang tua. Apa sebenarnya yang berlaku?

Ibu atau bapa membawa diri ke rumah orang tua dengan memberi alasan bahawa mereka tidak mahu menyusahkan anak-anak. Betulkah?



Foto: Di manakah ayah anda sekarang? Apakah dia ada makanan tengah hari ini? Apakah tempat berlindungnya selesa dan selamat? Apakah dia ada pakaian untuk membaluti tubuh keringnya dari gigitan cuaca yang semakin hari semakin mengancam akhir-akhir ini? Gambar ini saya abadikan di Padang, Sumatera yang dilanda gempa bumi teruk petang semalam.

Sebenarnya tidak menyusahkan. Kalau waktu awal usia perkahwinan ibu bapa kita dulu mereka sanggup untuk menjaga 10 orang anak, kenapa hari ini 10 orang anak tidak sanggup untuk menjaga seorang ibu atau bapa?

Kalau ibu dan bapa yang telah tua dan uzur sekalipun, juga tidak akan menyusahkan anak-anak. Kita boleh rawat mereka. Jika tidak mampu, gajikan pembantu yang boleh merawat mereka. Bukankah anda bekerja siang dan malam mengumpul wang? Untuk apa?

Ibu atau bapa lebih rela melarikan diri ke rumah orang tua kerana:

Mereka lebih selesa bersendiri untuk beribadah kerana merasakan masa muda mereka telah mengabaikan amal ibadah.

  • Anak-anak tidak meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan mereka.
  • Anak-anak terlampau membebankan mereka dengan kerja-kerja fizikal seperti menjaga cucu, membersihkan rumah, memasak, membasuh kain baju, berkebun, menjadi jaga atau pemandu atau sebagainya.
  • Masalah dengan menantu. Anda kena ingat, hak ibu dan bapa mentua adalah sama seperti hak ibu dan bapa sendiri.

Apakah peranan anak menantu?

  • Pujuk ibu atau bapa anda tinggal dengan anda.
  • Bincang dengan suami atau isteri untuk mempelawa ibu atau bapa anda tinggal di rumah anda.
  • Bertoleransi.
  • Banyak mengalah dengan ibu dan bapa.
  • Selami hobi dan kegemaran mereka.
  • Ubah suai jadual kita untuk memenuhi keperluan mereka.
  • Selalu berkomunikasi dengan mereka.
  • Jangan nampakkan kesusahan diri kita. Ibu bapa tak mahu melihat kita susah kerana mereka telah merasi kesusahan ketika membesarkan kita. Sebenarnya, inilah masanya kita pula susah untuk mereka.
  • Muliakan mereka.
  • Jangan meninggikan suara ke atas mereka.



Foto: Ibu yang telah lanjut usia sanggup berniaga di pasar untuk menyambung hayat. Di mana anak-anak yang telah dibesarkan sekian lama dahulu? Foto ini saya abadikan di pasar Kampar, Wilayah Riau, Sumatera.


Kesimpulannya, jagalah sendiri ibu dan bapa anda. Jangan hantar mereka ke rumah orang tua. Jika ajalnya sampai biarlah mereka meninggal di rumah anda sendiri.

Rabu, 16 September 2009

BAGAIMANA MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Foto: Di Pasar Ramadan, Jalan Jeneral Sudirman, Dumai, Indonesia. Di mana-mana pelusuk dunia ini sering ditemui manusia bersukaria meraikan pesta makan minum hingga lupa hakikat Ramadan sebenarnya. Lebih-lebih lagi apakah mereka memikir hakikat Syawal yang sebenarnya?


Hari ini cuma 3 hari lagi menjelang tibanya Aidilfitri yang mulia. Apakah persiapan bermanfaat anda?

Rebutlah 10 malam terakhir puasa tahun ini dengan memburu Lailatul Qadar. Bagaimana?

  • Pastikan anda telah solat Isyak sebelum berehat malam.
  • Pastikan anda telah solat sunat Terawih paling kurang 8 rakaat. Jika belum solat sendiri di rumah atau di mana sahaja walaupun anda dalam musafir. Ada orang yang tidak solat sunat Terawih kerana katanya tidak pandai selawat dan baca doa. Sebenarnya anda boleh terus solat 8 rakaat dengan 4 kali salam tanpa selawat dan doa. Bacalah apa-apa surah yang pendek selepas Fatihah. Anda cuma perlu 15 minit untuk menyelesaikan 8 rakaat Twrawih.
  • Solat sunat Witir 3 rakaat. Anda boleh buat 3 rakaat terus seperti solat Maghrib tanpa Tahyat awal. Kalau terdesak solat sunat Witir 1 rakaat pun sudah memadai.
  • Membaca al-Quran.
  • Berwirid dan berzikir.
  • Muhasabah diri sebelum tidur.
  • Bersedekah pada siangnya walaupun sedikit.
  • Membantu anak yatim atau orang miskin.
  • Bayar zakat fitrah untuk diri anda dan orang di bawah tanggungan anda.
  • Bayar fidyah puasa yang tertinggal pada masa-masa silam kepada NGO atau badan-badan yang membantu anak yatim dan orang miskin.
  • Banyak menyumbang dan bersedekah.
Foto: Ini Masjid Raya Baitulrahman, Aceh, Indonesia yang berusia 600 tahun bersama seorang teman. Saya solat Hari Raya Aidiladha di sini 2 minggu selepas tsunami 2004. Ketika itu jemaah memenuhi kawasan lapang ini walaupun lumpur tsunami masih pekat hitam menebal.


Persiapan lain menjelang hari raya:
  • Beri duit raya kepada anak saudara dan orang bawahan anda sebelum takbir raya kerana memberi dalam bulan Ramadan digandakan pahalanya oleh Allah SWT.
  • Sediakan persiapan pakaian raya, perabot dan perhiasan rumah, kueh mueh dan perjalanan setakat kemampuan anda.
  • Jangan membazir.
  • Jangan berbelanja di luar daripada kemampuan anda.
  • Sediakan kenderaan dengan baik terutama jika anda akan melalui jalan jauh.
  • Tinggalkan rumah dalam keadaan selamat dengan mematikan suis dan kunci yang selamat.
  • Beri tahu jiran yang tidak pulang ke kampung, polis atau pos kawalan setempat.
  • Memandu pulang ke kampung pada waktu anda segar.
  • Jangan isi kenderaan dengan muatan (penumpang) yang berlebihan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin.


Foto: Kenangan pada pagi raya Aidil Fitri 1429H di hadapan pondok bonda tercinta. Dari kiri: Bonda Temah Melah, adinda Norzaimah, adinda Kamsiah dan adinda Dr. Norlaili yang akan berhijrah ke Australia mengikut suaminya lepas raya tahun ini.

Selasa, 15 September 2009

KEMBARA MUSAFIR RAMADAN DAN SYAWAL

Ramadan tahun ini saya keluar negara bermusafir sebanyak dua kali:

28-30 Ogos (7-9 Ramadan):

Saya ke Aceh menziarahi anak-anak saya di Rumah Anak Yatim Darul Tahfiz Sri al-Ain seramai 15 orang. Dalam satu dua hari ini saya masih lagi terhutang untuk menghantar kepada mereka peruntukan untuk membeli pakaian raya kerana inilah satu-satunya masa yang mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing bertemu dengan saudara mara yang masih ada sedangkan ibu bapa mereka telah lima tahun menghilang dimakan tsunami. Saudara saudari yang ingin menyumbang untuk anak-anak yatim ini bolehlah menyalurkan melalui saya.

Di samping itu saya dapat merasa berpuasa dan solat sunat Terawih di Aceh sambil melihat pembangunan Aceh selepas pilihan raya yang mengorak langkah ke arah pentadbiran negeri Islam.

Dengarnya semalam sudah dibentangkan di Parlimen untuk dikuatkuasakan undang-undang syariat Islam di Aceh buat kesekian kalinya. Orang berzina yang belum berkahwin dan cukup saksi 4 orang akan disebat 100 rotan. Yang sudah berkahwin akan direjam hingga mati. Minum arak di khalayak ramai akan di sebat 80 rotan. Yang mencuri akan dipotong tangan.

Dua tahun lepas waktu Aceh baru berhenti peperangan antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan tentera Indonesia, hukum hudud ini sudah dilaksanakan. Selepas solat Jumaat jemaah akan berkumpul di perkarangan masjid di beberapa tempat termasuk di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh untuk melihat hukuman hudud dilaksanakan. Kemudian terhenti buat sementara waktu kerana ada pro dan kontranya. Ini nak dilaksanakan semula.

5-7 September (15-17 Ramadan):


Foto: Kesibukan pasar raya di Padang menjelang hari raya. Padang sebuah bandar bersejarah di tepi Lautan Hindi yang menghijau airnya. Padang juga masyhur dengan peninggalan lagenda si Tanggang yang disumpah ibunya menjadi batu. Pada hari raya ini di manakah ibu anda?


Saya bermusafir di wilayah Riau dan Minangkabau di Sumatera. Dari Pelabuhan Kelang saya menaiki feri ke Dumai. Dari Dumai menaiki kereta ke Pekan Baru. Bermalam di Pekan Baru. Keesokan harinya menaiki kereta ke Paya Kumbuh, Bukit Tinggi, Padang Panjang dan Padang. Dari Padang saya balik menaiki Air Asia ke Malaysia.

Saya menziarahi masjid-masjid dan pusat pengajian agama dan tahfiz di samping melihat kehidupan umat Islam yang serumpun dan sebangsa dengan kita. Malah dari bumi sebelah sinilah berkembangnya tamadun Melayu Adat Pepatih di Negeri Sembilan. Banyak nama-nama bandar, kampung dan daerah di sini yang sama dengan nama-nama di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan, Perak dan Johor.


Foto: Ini makam Sultan Siak ke-IV dan kerabatnya di perkarangan Masjid Raya Pekan Baru yang saya ziarahi. Apabila berpindah pemerintahan ke Pekan Baru dan membina istana baru, bangunan yang paling diutamakan baginda ialah masjid.

Di samping itu saya sedang mencari bahan untuk buku terbaru saya. Kembara perjalanan ini ada saya ceritakan dalam ruangan tetap saya KEMBARA dalam majalah bulanan Solusi Bil. no. 12 terbitan Telaga Biru yang akan menemui pembaca pada 1 Oktober nanti.

Pada 3 hari raya ini saya akan keluar negara lagi:

22-26 September (3 -7 Syawal):

Kali ini saya mengetuai Misi Kemanusiaan seramai 5 orang ke Jakarta dan Tasik Malaya di Jawa Barat. Kami akan membawa sumbangan orang ramai berupa pakaian, ubat-ubatan dan kewangan untuk mangsa kebakaran Kampung Penduduk Miskin Kampung Pisangan, Ciputat, Jakarta yang berlaku awal Ramadan baru-baru ini.

Kampung ini telah kami taja sejak tiga tahun yang lalu dan berjaya mendirikan sebuah madrasah. Dalam kebakaran baru-baru ini semua 150 buah rumah menjadi padang jarak padang tekukur kecuali bangunan madrasah Sri al-Ain yang kami dirikan.

Sasaran kedua kami ialah menziarahi mangsa gempa bumi di Tasik Malaya dan Bandung di Jawa Barat yang mengorbankan ratusan orang serta menenggelamkan beberapa buah kampung baru-baru ini.

Foto: Ini bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Padang yang bernama BANDARA (BANDAR UDARA) INTERNASIONAL MINANGKABAU.

Saudara / saudari yang turut ingin menyumbang untuk membantu mangsa kedua-dua bencana di atas sila masukkan sumbangan ke dalam akaun berikut:

CIMB No: 14160067926528 HAJI MUHAMMAD ZAKARIA
AGRO BANK No: 2-00-5561-00001319 PERSATUAN BELIA SRI AL-AIN (BERSAMA)


dan maklumkan melalaui SMS ke: 016-4028344.

Pada saat anda bergembira merayakan hari raya Aidilfitri tahun ini ingat-ingatlah orang yang kurang bernasib baik. Moga seandainya kita ditimpa kesusahan bila-bila masa suatu hari nanti, ada hamba Allah yang prihatin untuk membantu kita dengan gerak hati daripada Allah S.W.T. jua.